Milikilah Sekarang

Milikilah Sekarang

Wednesday, 10 June 2015

IJOK BERPOTENSI UNTUK MEMBANGUN

Meskipun Ijok terselindung di sebalik ladang-ladang kelapa sawit yang saujana mata memandang, ia terletak di laluan penting jaringan jalan raya yang menghubungkan beberapa daerah utama di Selangor.


Dengan kedudukan strategik antara Sungai Buloh di selatan dan Kuala Selangor di utara serta terletak kira-kira 60 km ke barat laut bandaraya Shah Alam, Ijok merupakan laluan penting ke ketiga-tiga daerah ini.


Jika anda memandu laju, jangan terkejut sekiranya anda terlepas pekan kecil Ijok yang terletak di Simpang Tiga Ijok. Jika dulu, ia selalu mendapat jolokan `pekan koboi', tetapi di sebalik itu Ijok kini kawasan yang rancak membangun.




Pekan Ijok




Prasarana Yang Lengkap


Ijok yang terletak dalam daerah Kuala Selangor telah memiliki kesemua infrastruktur yang diperlukan. Sekolah, dewan orang ramai, klinik, balai polis, tempat beribadat malah kini ia turut menempatkan kawasan perindustrian baru iaitu Kawasan Perindustrian Ijok 3.


Sekolah Kebangsaan Ijok



Kemudahan masjid di Batu 8 Ijok


Dewan Orang Ramai Ijok



Hanya 5 minit untuk ke Lebuh Raya LATAR


Potensi serta lokasi Ijok yang strategik turut dikesan pemaju perumahan yang berlumba-lumba membangunkan pelbagai projek perumahan seperti di Saujana Utama, Berjuntai Bestari dan Saujana Ijok. Kini, banyak pemaju perumahan yang memajukan kawasan Ijok lantaran harga hartanah yang melonjak di utara Lembah Klang dan siapnya Lebuh Raya LATAR.


Simpang untuk ke Lebuh Raya LATAR yang dihubungkan ke bandar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam




Tempat-tempat pelancongan menarik di kawasan sekitar


Ijok terletak hanya beberapa kilometer daripada Kuala Selangor. Banyak tarikan menarik yang terdapat di Kuala Selangor menjadikan ia sebagai tumpuan pelancong sama ada dalam dan luar negara. Disebabkan itu, ia sekaligus menjadikan Ijok sebagai kawasan yang berbaloi untuk diduduki. 
Antara tempat- tempat menarik ialah:




1. Taman Alam Kuala Selangor
Taman Alam Kuala Selangor berkeluasan 296 hektar yang terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu seluas 201 hektar meliputi Hutan Hujan Tropika dan selebihnya merupakan Hutan Paya Bakau. Taman Alam berkonsepkan Taman Burung, di mana pelancong boleh melihat sendiri pelbagai jenis spesis burung yang hidup liar. Terdapat 156 jenis spesis burung antara lain 57 daripadanya adalah burung-burung dari luar negara seperti Rusia dan siberia.

2. Kelip-Kelip Kg. Kuantan
Kampung Kuantan terkenal dengan kelip-kelip. Ada pendapat menyatakan keajaiban Kelip-kelip hanya terdapat di dua tempat sahaja di dunia ini dan salah satunya ada di Kampung Kuantan. Hari ini Kampung Kuantan terkenal dengan keajaiban Kelip-kelip yang bukan sahaja kepada pengunjung tempatan, malahan serata dunia.
Bayaran:
Sebuah sampan termasuk insurans dan jaket keselamatan (Maksima 4 orang)
RM 50.00

3. Pantai Remis Sungai Sembilang
Pantai Remis Kuala Selangor terletak 20km arah selatan Kuala Selangor iaitu di Sg Sembilang, Jeram. Para pengunjung berpeluang berjalan di persisiran pantai sambil menghirup udara segar serta menikmati keindahan alam dan menikmati keenakan makanan laut selain menjalankan aktiviti seperti memancing, mencari hidupan laut seperti kerang dan mentarang, bermain layang-layang dan melihat matahari terbenam.

4. Bukit Malawati
Mengikut sejarah, Bukit Malawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim pada Julai 1784. Setahun kemudian pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Di atas Bukit Malawati terdapat beberapa buah rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan, sebuah rumah rehat, rumah api dan kesan-kesan sejarah.




5. Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor
Taman ini terletak di rezab Hutan Simpan Taman Alam serta kedudukannya bersebelahan dengan Bukit Malawati. Taman ini adalah tempat yang sesuai untuk mempelajari hidupan ikan air tawar, kerana mempunyai sejumlah 1500 ekor ikan daripada 60 spesis ikan air tawar. Di Taman Ikan Air Tawar ini terdapat sebuah galeri yang dapat memberikan maklumat kepada pengunjung mengenai hidupan air tawar, sejarah ikan air tawar di Kuala Selangor, konsep akuarium, jenis ikan dan peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan.

6. Tempat Melihat Anak Bulan
Bangunan ini dibina khas bagi melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh permulaan berpuasa di bulan Ramadan, Hari Raya Syawal dan Raya Haji.

7. Royal Kg. Kuantan Golf Club (RKKGC)
RKKGC menawarkan permainan golf yang sebenar kerana ia satu-satunya lapangan golf yang memerlukan pemain berjalan kaki. Terletak di daerah Kuala Selangor, kelab golf ini merupakan yang tertua di Selangor dan antara yang pertama dibina di negara. Dibina oleh peladang-peladang British  pada tahun 1910, lapangan sembilan lubang sejauh 2,771 meter par 35 ini telah menjalani pelbagai perubahan.

8. Homestay Sungai Sireh
Homestay Sungai Sireh menjanjikan percutian yang bakal menjadi kenangan seumur hidup, kerana disini pelawat dapat merasai kehidupan kampung dalam suasana dikelilingi panorama keindahan alam semula jadi dengan kehijauan sawah padi dan deruan air sungai mengalir.
Penginapan di Homestay
2 Hari 1 Malam –      RM 100
3 Hari 2 Malam –      RM 200